Rabu, 26 Mac 2014

assignment bahasa & komunikasi {PERPUSTAKAAN}



Kami memilih perpustakaan kerana sebagai mahasiswa kami tidak mampu untuk belajar tanpa membaca buku. Buku merupakan wadah terpenting bagi seorang mahasiswa untuk memahami sesuatu perkara dengan lebih baik lagi. Di samping itu, dari segi ekonomi pula, ia dapat membantu meringankan beban kewangan kerana untuk membeli sebuah buku memerlukan wang yang agak banyak, terutamanya bahan rujukan yang diimport dari negara barat. Sebagai alternatif, kami meminjam buku-buku dari perpustakaan agar tidak ketinggalan dari segi pembelajaran berbanding rakan-rakan yang berkemampuan kerana mereka memiliki kesemua buku yang disyorkan oleh para pensyarah.

Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditubuhkan pada tahun 1995 iaitu sudah hampir 19 tahun diwujudkan. Oleh yang demikian, ini bermakna terdapat banyak koleksi bahan bacaan ada di sini. Disebabkan oleh itu, kami tidak perlu bimbang tentang kekurangan buku. Selain daripada itu, sesuai dengan pengalaman, para pustakawan yang bertugas sangat berdedikasi dan berhemah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka sentiasa memastikan keperluan dan kehendak para pelajar dipenuhi sebaik mungkin. Kemesraan mereka menambahkan lagi minat kami untuk berurusan dengan mereka. Ternyata moto “Berkhidmat Berkualiti” sememangnya dilaksanakan oleh mereka dan bukan sekadar moto semata-mata.

Koleksi perpustakaan terbahagi kepada dua iaitu koleksi am dan koleksi khas. Koleksi am terdiri daripada koleksi rujukan, koleksi tanda merah, koleksi terbitan bersiri, koleksi multimedia, koleksi penyelidikan dan koleksi rujukan terhad. Manakala koleksi khas ialah Koleksi Aseana +3 (Korea, Jepun dan China), Koleksi Nobel Laureate, Koleksi Perdana, Koleksi Arkib UMS dan Koleksi Kanak-Kanak.

Melalui pembacaan, kami dapat mengetahui mengenai kebudayaan lain seterusnya perkongsian budaya dapat dilakukan. Kebudayaan merupakan rangkuman daripada pengetahuan, kepercayaan, sikap, undang-undang, adat resam dan kebolehan-kebolehan lain dan tingkahlaku yang diperolehi oleh manusia sebagai masyarakat. Contohnya melalui pembacaan di koleksi aseana +3 (Korea, Jepun dan China), kami dapat mengolah kebudayaan lain seperti kebudayaan Jepun untuk digunakan sebagai kebudayaan sendiri, samada kebudayaan berbentuk kebendaan mahupun kebudayaan bukan kebendaan misalnya falsafah dan nilai kerana ciri-ciri kebudayaan tidak bersifat statik, sentiasa berubah-ubah, boleh dipelajari dan dikongsi bersama.

Di samping itu, koleksi multimedia yang ada turut memudahkan kami untuk menelaah kerana tidak perlu bergantung harap sepenuhnya kepada buku selain menambah minat kami untuk lebih memahami proses pembelajaran tersebut kerana kebanyakkan koleksi multimedia mempunyai animasi dan kandungan yang menarik serta senang difahami kerana penerangannya lebih ringkas berbanding buku. Ternyata perpustakaan merupakan sebuah gedung ilmu yang sangat bermanfaat untuk kami bagi bergelar mahasiswa yang cemerlang.

Perkhidmatan yang disediakan pula seperti Peminjaman dan Pemulangan, Rujukan dan Informasi, Program Literasi Maklumat, Pangkalan Data, dan Buku Elektronik. Program Literasi Maklumat sememangnya sangat bermanfaat bagi kami. Kami diberi pendedahan dan dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mengenai kaedah pengesanan maklumat dengan mudah, cepat dan tepat. Contohnya, kami boleh menjimatkan masa dengan mencari bahan bacaan yang diperlukan hanya dengan menggunakan WebOPAC.

Pelbagai kemudahan ada disediakan di perpustakaan ini. Antaranya Auditorium, Bilik Perbincangan, Bilik 24 Jam, Kubikal dan Percetakan. Secara zahirnya, bilik perbincangan memudahkan sesi perbincangan antara mahasiswa. Hal ini menyenangkan lagi para pelajar menyiapkan kertas projek mahupun kerja berkumpulan kerana wujudnya tempat yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan mereka. Bahkan ia mengeratkan hubungan persahabatan disebabkan terdapatnya perhubungan yang bersemuka selain daripada perjumpaan di dalam dewan kuliah. Jelaslah, kewujudan perpustakaan UMS selain sebagai medan untuk menelaah, ia juga turut berfungsi sebagai tempat untuk berkomunikasi.

Terdapat begitu banyak pengkelasan buku dibuat yang menandakan begitu luasnya ilmu untuk dikaji dan dipelajari iaitu daripada Karya Am, Falsafah Agama, Kajian Persejarahan, Sejarah, Geografi, Antropologi, Rekreasi, Sains Kemasyarakatan, Sains Politik, Undang-Undang, Pendidikan, Muzik, Kesenian, Bahasa dan Sastera, Sains, Perubatan, Pertanian Am, Teknologi, Sains Ketenteraan Darat dan Laut sehinggalah kepada Sains Perpustakaan.

Pembacaan yang banyak dapat meningkatkan pengetahuan untuk menjadi sarjana yang baik dan berada dalam kelompok mereka yang berintelektual tinggi. Oleh itu, kami bukan hanya dapat mendalami subjek yang ditawarkan dalam program masing-masing tetapi berpeluang mengetahui asas mengenai perkara-perkara lain. Perpustakaan ini menjadi ruang ilmiah buat kami, tidak seperti ketika belajar di sekolah suatu masa dulu yang hanya memfokuskan subjek yang dipelajari sahaja tanpa perlu mengambil peluang untuk mengetahui perkara-perkara lain. Pengkayaan ilmu pengetahuan dapat diadaptasi dan diaplikasi dalam kehidupan seharian sejajar dengan budaya ilmu yang ingin kami capai sepanjang berada di universiti ini kerana universiti adalah tapak asas bagi kami membentuk diri menjadi insan yang mencintai ilmu.

Justeru itu, perpustakaan merupakan antara perkara yang bermakna dalam kehidupan kami sebagai mahasiswa Universiti Malaysia Sabah disebabkan kepentingannya bukan sahaja daripada segi akademik sahaja bahkan juga dari segi kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi dan bersosial.
 


sumber: internet
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan