Ahad, 15 November 2015

Biar Alam Berbicara


Oh makhluk dangkal bernama manusia,
Biarkan sahaja alam yang berbicara,
Kerna ia lebih mengerti apa yang terbaik untuk semua.

Andai sahaja alam mula berbicara,
Diamkan sahaja,
Kalau ia malapetaka,
Maka itu balasan terbaik buat kita,
Hanya kerana terdapat segelintir manusia durjana,
Yang mengekploitasi tanpa hentinya.

Sekiranya alam memberi manfaatnya,
Terimalah dengan berlapang dada,
Kerana itu habuan buat kita,
Yang mencintai alam dengan setulusnya.

Biar alam berbicara,
Ia tidak pernah khilaf dalam penghitungannya.

Oleh yang demikian duhai manusia,
Jangan kerana ketamakanmu mengila,
Menjadikan bicara alam tak selunak sepatutnya.


Nukilan: Nur Nabilah Arifin (14/11/15)

Aku, Cinta dan Kebencian

Hingga saat ini aku masih tidak mampu melupakan. Harus aku akui bahawa aku sakit. Hanya kerana mencintai dirinya. Kenangan demi kenangan waktu lalu bagai mengamit mimpi-mimpiku. Aku seharusnya belajar untuk melupakan. Tetapi hanya kesakitan yang terlukis. Walaupun ia pahit, namun tetap sahaja aku merasakan bahawa ianya cukup indah.


Sesungguhnya aku ingin membenci dirinya. Aku ingin dia tahu bahawa aku benci padanya kerana meninggalkan aku tanpa berita. Aku benci untuk memikirkan tentangnya. Aku benci mengingati segala kenangan yang tercipta. Andai sahaja aku bisa mengubah segala, ingin aku memadamkan segala cerita tentang dirinya. Agar segera sahaja aku dapat menoktahkan semua.


Aku ingin sekali berlalu pergi, memujuk lara di hati untuk kesekian kali. Namun kehadirannya jelas sekali mengoncang jiwa, jiwa yang selama ini kesepian ditinggalkan. Bertahun menjeruk rasa. Bertahun jua belajar mencari bahagia. Tetapi hanya sesaat kehadirannya terus sahaja meranap rasa.


Oh Tuhanku, berilah aku kekuatan. Sesungguhnya aku buntu. Aku hanya ingin mencari bahagia.


Nukilan rasa (1/11/2015)