Sabtu, 16 Mei 2015

Program Strata? Prejudis yang dicari...

aku sebenarnya berkira-kira untuk mencatatkan perihal ini. aku bimbang. bimbang sekiranya pentafsiran yang cuba aku berikan hanya akan menambah sengketa yang ada. cukuplah. walaupun aku sedar, kebenaran itu adalah mutlak sifatnya meskipun cuba ditutup oleh kebatilan yang semakin bermaharajalela hari ke hari.

aku pergi dengan tujuan untuk memahami. kesedaran juga telah aku sematkan di jiwa bahawa aku hanya orang luar dan seharusnya aku tidak menyeleweng daripada fakta berkenaan. aku hanya orang luar yang datang merantau ke Sabah demi untuk menuntut ilmu. namun, dua tahun di sini sebenarnya hanya banyak merobek hati. betapa rakyat Sabah banyak menanggung derita. sesungguhnya empangan air mata pula bagai tidak cukup kudratnya. mengenang nasib yang tertindas dek kerana angkara manusia.

tapi anehnya, tundingan jari hanya dibuat terhadap orang semenanjung. peluang dan ruang yang ada ditutup oleh orang semenanjung. semenanjung mencuri hasil bumi Sabah. pendek kata segala-gala yang berlaku di Sabah adalah hasil perbuatan orang semenanjung.

duhai sahabat,
maaf! kerana kaca mata kita berbeza. sesungguhnya simpati yang ada terhadap orang Sabah tidak mampu diungkapkan oleh kata-kata. sedih dan kecewa bagai bercampur gaul menjadi rasa yang tak terkira.

sebenarnya, yang salah bukan orang. tetapi sistem yang dimajukan. ingin cuba aku tegaskan di sini bahawa sistem politik di Malaysia dan juga Sabah masih bersifat kroni. pemimpin yang sepatutnya diangkat, terbuang. sebolehnya, pangkat, darjat dan status itu adalah bersifat warisan. itulah punca sebenarnya kenapa masalah wujud. sungguh pendekatan top-down itu sangat melemaskan aku. aku cuma ingin suara rakyat didengari. ya, suara rakyat Sabah khususnya. terutamanya yang tinggal jauh di pedalaman sana. itu yang sepatutnya cuba dirungkaikan. pendebatan demi pendebatan yang panjang takkan mengubah nasib anak Sabah sekiranya suara yang sepatutnya didengari tenggelam dek masa juga kuasa.

pemimpin politik yang kita sanjung juga puja, memiliki asetnya. tak terkira. sekiranya apapun yang berlaku, mereka tetap di zon selesa. mereka boleh memanipulasikan undang-undang yang ada agar tidak terjerat bersama. tapi kita? rakyat biasa yang hanya bergantung kepada kudrat yang ada. tulang empat kerat.

cukuplah aku mendengar rintihan demi rintihan.

tolonglah pemimpin, baik di peringkat pusat mahupun negeri. berkerjasamalah. jalankan program integrasi dengan sebaiknya. bukan cuba mencari dan mewujudkan prejudis sekaligus meluaskan lagi sempadan kebencian yang bagi aku adalah kerugian terbesar rakyat Malaysia.



KERANA AKU CINTA AKAN MALAYSIA :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan