Panduan kursus - oleh Dr. Kntayya
hubungan etnik merupakan salah satu isu sosial yang berpengaruh dalam kehidupan masyarakat moden, khususnya ekoran dari pembentukan masyarakat berbilang ras dan etnik. biarpun kepelbagaian etnik atau ras telah menghasilkan kesan-kesan yang dianggap positif seperti perkahwinan campur dan mengkayakan budaya, tetapi sejarah masyarakat moden pada umumnya menunjukkan hubungan etnik dan ras ini telah menjelma sebagai fenomena sosial yang mencetuskan konflik dalam kehidupan manusia. konflik etnik kerap menjejaskan keamanan, kestabilan politik dan pembangunan ekonomi. permusuhan dan konflik etnik telah menjadi perkara harian pada masa kini akibat kegagalan negara-negara moden mewujudkan kesaksamaan dan keadilan dalam kehidupan masyarakat berbilang etnik dan sekaligus menunjukkan kegagalan dalam mengurus masalah hubungan etnik. kesedaran keetnikan dan pola-pola dalam hubungan etnik yang muncul, sama ada yang bersifat positif atau negatif, adalah bergantung kepada pelbagai faktor yang berupaya membangkitkan kesedaran dan kepentingan pengaruh keetnikan serta persaingan politik dan ekonomi antara kumpulan etnik. justeru keetnikan sebagai suatu kuasa sosial dan faktor-faktor yang mencorakkan hubungan etnik ini perlu difahami. oleh itu, kefahaman tentang konsep-konsep, teori-teori, isu-isu dan pengalaman-pengalaman masyarakat berbilang etnik utama termasuk Malaysia perlulah dipelajari dan dikaji. bermula daripada tinjauan ke atas pemikiran awal tentang idea perbezaan ras dan kemunculan ideologi rasisme, kebangkitan keetnikan dan pengaruhnya dalam pelbagai konteks sosial masyarakat yang berbeza dari segi kompleksiti, ciri-ciri dan kedinamika hubungan etnik. pengaruh faktor-faktor sejarah, budaya, politik dan ekonomi dalam membentuk situasi-situasi dan permasalahan hubungan etnik yang berbeza akan dikaji. perbincangan meliputi penilaian ke atas pendekatan dan strategi politik yang diamalkan oleh masyarakat-masyarakat tertentu termasuk Malaysia untuk menangani masalah kepelbagaian, perpecahan dan pemusuhan etnik. persoalan mengukur dan menilai kekuatan pengaruh keetnikan dan tahap konflik etnik serta ramalan-ramalan teori-teori sosial tentang masa depan pengaruh kuasa keetnikan dalam arus perubahan masyarakat, terutamanya dalam arus globalisasi masa kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan