Ahad, 30 November 2014

semalam yang hilang

Semalam aku menangis. Berusaha sekuat mungkin untuk tetap bertahan. Berdoa agar diri sentiasa kuat untuk menghadapi segala cubaan dan dugaan yang mendatang. Kadangkala, lelah hadir juga meskipun sekuat manapun aku berusaha untuk menempisnya. Sedih. Tangisanku semalam adalah tangisan yang takkan mampu untuk diungkapkan malah untuk diterjemahkan sekalipun. Aku mahu berhenti dari memikul sebarang tanggungjawab. Aku mahu berhenti dari terus merasa kekecewaan yang tak kunjung padam. Aku ingin disayangi dan dihargai. Aku ingin manusia lain tahu bahawa aku juga manusia biasa yang mahu disayangi dan dihargai. Seringkali aku merasakan kehadiranku tidak diperlukan dan selayaknya bukan di sini tempatku. Ada juga masa aku merasakan bahawa ujian buat aku ini tidak mampu lagi aku hadapi. Aku menangis dan terus menangis. Tiada lagi insan-insan yang setia mahu mendengar omelan daripadaku. Aku bukan mahu mementingkan diri. Namun, aku hanya ingin meluahkan rasa. Aku mahu berbicara. Salahkah aku? Khilafkah aku? Berdosakah aku? Semalam tangisanku tidak didendangkan. Hanya tangisan dalam diam. Hatiku tertanya-tanya adakah aku ‘sakit’? normalkah aku sebagai manusia? atau adakah aku bukan sebahagian daripada kalangan manusia? adakah aku cuma jelmaan masa lampau yang kepingin melihat modernisasi yang dicanang? Semalam aku menangis. Aku tahu semalam telah hilang. Tetapi, bisa-bisa rasa dan denyut nadiku tidak mahu melupakan tangisan semalam. Ia tetap tidak mahu walaupun aku berusaha keras ke arah itu. Aku malu kerana aku tidak mampu. Aku segan untuk mengakui ketidakmampuan diriku. Tapi, harus bagaimana lagi. Kata orang tangisan adalah kekuatan seorang perempuan. Mungkin aku akan cuba menyetujuinya. Meskipun, realitinya jauh bertebrakan. Aku menangis bukan sebab aku kuat. Tangisanku sebenarnya disebabkan kelemahanku. Aku merasakan tidak wajar untukku menangis. Sepatutnya aku bertambah waja. Berhenti menangis dan berlalu daripada sebarang kesedihan kerana sesungguhnya tangisanku itu tidak bermakna dan berharga meskipun sebesar hama. Kata orang, aku terlalu berlebihan memikirkannya. Aku terlalu taksub dengan ketidaksempurnaan sehingga melupakan terus sisi yang bernama kebaikan yang sentiasa wujud dalam kejernihan. Semalam yang hilang banyak memberi definisi baru dalam kehidupan. Kamus hidupku bukan seperti orang lain. Aku mewarnai kehidupanku dengan kegelapan. Aku mengukirkan kehidupanku dengan calar-calar penderitaan. Kedangkalan diri membuatkan diriku mengambil keputusan songsang. Meredah jalan yang dielakkan oleh orang. Aku menangis. Kesakitan semalam masih terasa. Parutnya juga ternyata dalam. Ia akan terkubur bersama kematianku nanti.


 Mengharap akan ada jalan pulang. Mengharap tidurku yang mendatang tidak lagi bertemankan tangisan....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan