Sebenarnya
aku tidak ingin sesekali mengeluh. Jauh sekali ingin meratap nasib diriku.
Namun apakan daya, aku juga manusia. Aku cuma manusia biasa seperti kalian yang
seringkali melakukan kesilapan demi kesilapan dan aku cuba berusaha membaiki
segala kesilapanku untuk menjadi yang lebih baik. Tetapi ketahuilah bahawa
berubah itu tidak sesenang sepertimana diungkapkan.
Aku
manusia introvert. Tahukah kalian apa itu introvert? Kalau masih ragu tentang
maknanya, maka izinkan aku untuk menjelaskannya melalui penceritaan tentang
diriku. Semoga kalian bukan introvert tegar sepertimana aku.
Aku
seringkali disalah anggap oleh manusia sekelilingku. Mereka mengatakan bahawa
aku adalah manusia anti sosial, jauh untuk bergaul dan sukar untuk berkawan.
Bagi pengamatan mereka, aku terlalu sombong, bongkak dan bangga diri. Padahal
hakikatnya jauh berbeza...
Aku
hanya manusia biasa. Aku juga memiliki kekurangan. Sesungguhnya, aku cemburu
dengan manusia yang berbeza personaliti dengan diriku. Mudahnya mereka memiliki
kawan, betapa mesranya perhubungan mereka sedangkan aku hanya mampu memandang
walaupun ternyata di dalam hatiku; aku juga ingin mempunyai bilangan kawan yang
ramai, aku juga ingin bercerita dan mendengar cerita, aku juga senang untuk
bergosip tentang isu-isu semasa, aku ingin bergembira dan berseronok sama...
Tetapi
aku tidak mampu. Aku malu untuk memulakan bicara. Aku malu untuk berkata-kata.
Aku hanya boleh memandang dan berharap insan di hadapan aku ialah manusia
extrovert agar suasana bungkam itu mampu diceriakan.
Namun
pengharapanku selalunya berakhir dengan sia-sia. Kata orang, pemikiran yang
tidak sama mana mungkin mampu menyatu bicara. Akhirnya, aku tertinggal
sendirian dek rasa malu yang melampau. Ahhhh...betapa kelamnya dunia aku
rasakan. Keceriaanku hanya bisa di rumah sahaja kerana hanya di situ aku yakin
untuk berbicara. Aku hanya boleh berbicara dengan yang rapat sahaja. Menyusun
kata-kata sehingga mereka yang berdekatan tidak bisa menutur kata. Maafkan aku
wahai kesayangan-kesayanganku belaka, aku tidak berpeluang meng’express’ sekiranya
bukan dengan kamu semua. Sesungguhnya aku bosan bersendirian tidak berteman.
Introvert
bukan satu dosa. Ia adalah identiti dan peribadi. Oleh itu, tolonglah cuba
memahami. Janganlah berterusan menghukum tanpa mengenal. Kerana manusia itu
tidak pernah sama dan ternyata berbeza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan