Rabu, 5 November 2014

Nak jadi pemimpin kita perlu kuat

Kepimpinan yang tulen sentiasa ditentang, dipersendakan. Itu hakikat sebenar dan dibuktikan oleh sejarah. Bukan hanya dendangan atau omelan kosong daripada aku. Perjuangan untuk menegak hak dan kebenaran, sentiasa diawali oleh keperitan, kesukaran dan kepayahan. Namun secara moralnya, kita menang kerana berjaya mengugat pihak lawan. Kalau mereka tidak takut, masakan kita ditindas dan kekalahan kita disambut dengan kegirangan oleh mereka. Oleh itu, persetankan segalanya tentang mereka. Mereka akan jatuh jua di suatu masa nanti meskipun perlu mengambil masa yang cukup lama. 

Ambillah masa untuk berjuang. Rangka strategi baru. Sematkan ideologi yang mantap dalam generasi muda dan akan datang. Gunalah pendekatan dan moral yang tinggi. Hikmah di sebalik setiap kegagalan, semestinya tersembunyi sebuah keindahan yang tak terungkapan.

Aku benci untuk mengatakan tentang kebencian. Aku malu untuk cuba war-warkan kemarahanku. Tetapi, kebenaran tetap sebuah kebenaran. Kita sesekali tidak memerlukan kepimpinan bercorak autokrasi secara melampau. Kita tidak pantas untuk mereguk kekeruhan disebabkan kepimpinan yang wujud lebih terarah kepada kroni. Mereka berjaya kerana memiliki satu sistem kroni yang mantap, publisiti yang berterusan dan akhirnya...

Kitalah yang tersadai. Kitalah yang merasa bahang kebodohan demi kebodohan mereka. Mendabik dada seolah semua perkara sempurna belaka. Seperti mereka sahaja yang mampu memimpin.

Kepimpinan mereka? Maaf tak perlu diperdendangkan. Cerita lama. Membusuk dan membasi. Kadangkala rasa mual dengan kepuraan mereka. Mereka sesekali tidak berhak. Mereka terlalu sukar untuk diajar. Terlalu bodoh untuk dinilai. Apa lagi harus diperkatakan? Melainkan, bersedialah wahai anak-anak muda. Bersedia merasai keperitan berterusan.

Untuk berubah, kita perlukan sesuatu yang baru. Melawan arus untuk melihat kepincangan. Berfikir secara kritikal bagi menganalisis segala perkara. Usahlah menjadi ‘monyet’lagi. Sesungguhnya ia sangat...hurmm terlalu janggal rasanya untuk diperkatakan.

Hanya ini mampu aku perkatakan. Hanya ini mampu aku berikan. Tiada sumbangan yang bisa aku persembahkan. Sesungguhnya aku bermimpikan tampuk kekuasaan. Mimpi yang sekadar mimpi. Impianku menggunung tinggi. Aku inginkan kuasa bagi membantu yang teraniaya. Aku perlukan lagi masa. Pengunduranku bukan bermakna aku kalah. Tetapi berundur untuk berfikir. Berundur untuk merangka strategi baru. Berundur untuk bangkit dengan lebih berani.

Buat teman seangkatanku. Anak-anak muda yang celik ilmu. Berpaksi pada ideologi untuk membantu. Ingin melihat Malaysia lebih maju. Percayalah, masih ada jalan untuk kita untuk menuntut hak, membasmi penindasan dan menuju ketamadunan...


Letakkan tanganmu di hati, genggamlah ia sekuat mampumu, katakanlah...

“Bersabarlah duhai hati. Sesungguhnya kejayaanmu adalah kejayaan tertunda”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan