Antara cita-cita dan cinta. Telah lama terpendam di sudut hatiku
ingin menjadi seorang penulis terkemuka. Mengarang cerita agar dibaca. Bukan
bermaksud untuk kemegahan, jauh sekali mengharapkan kemewahan. Cuma ingin
maksud hatiku diterima oleh masyarakat. Berharap buah fikiranku mampu dicerna
oleh yang lainnya.
Aku tidak pantas untuk gah berbicara di gelanggang terbuka.
Berhujah dan berpidato seperti akulah yang terbaik dan berwibawa. Kegagalan
lalu melenyapkan segala keyakinanku untuk berbicara. Sepatutnya aku mampu untuk
melakukan semua itu kerana seawal usia aku telah dilatih oleh bonda tercinta.
Pentas menjadi arena permainanku ketika usiaku masih muda. Ah...semua itu
terlalu indah untuk dikenang. Bakat yang ada entah telah hilang kemana seiring
dengan usia.
Aku tumbuh membesar dengan minat yang mendalam terhadap penulisan.
Kukarang beribu mungkin berjuta cerita. Zaman remajaku dihiasi angan-angan
kerana aku makin tidak mampu untuk bersuara. Kucatat tentang segalanya.
Memperihalkan tentang segala-galanya. Semata-mata untuk melenyapkan keinginan
yang ada untuk lantang berbicara.
Aku bukan jaguh. Aku masih menuntut. Perjalananku masih jauh. Aku
hanya mampu berdoa bahawa satu saat impianku ini akan tercapai. Menjadi antara
penulis terkemuka di Malaysia. Mengetuk hati-hati manusia lain dengan sejujur
dan setulusnya. Aku ingin masyarakat mengenaliku melalui penulisan kerana pada
hematku aku lebih jujur menerusi penulisan.
Oh Tuhan, Kau kabulkan permintaanku ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan