Jumaat, 16 Mei 2014

SELAMAT HARI GURU


setiap kali hari guru, seribu satu aku rasa. boleh tak aku cakap aku tak suka guru? boleh tak aku kata aku menyampah dengan mereka yang bergelar guru?

kebanyakan mereka hipokrit bagi aku. kebanyakan mereka manusia plastik. mereka bukan manusia tulen yang sepatutnya memegang status mulia seorang guru. sesungguhnya mereka tak layak, tak layak dan tak layak!!!

walaupun aku membenci kebanyakan guru, aku takkan menafikan dalam hidup aku pernah wujud guru-guru yang berhati tulus. setulus embun sehingga aku bimbang sekiranya aku akan menyakiti mereka kerana kebencianku terhadap guru.

aku memang manusia agresif. aku akui itu semua. pendapatku berbeza daripada rakan lainnya. aku sulit untuk diatur apatah lagi ditegur. aku dilahirkan dengan paradigma berbeza. perbezaan ini menyebabkan ramai guru tidak menyukai kewujudan aku. sesungguhnya aku berbeza? apakah itu dosa? ataupun guru-guru berasa tercabar dengan ideologiku yang songsang daripada arus perdana?

aku pernah menangis di dalam kelas kerana dihina seorang guru. malunya aku bukan kepalang. semua rakan lain memandang enteng kepadaku. perlukan maruah aku diperlekehkan sedemikian rupa, gara-gara aku dikatakan tidak setanding dengan mereka yang sekelas dengan aku? “mereka pandai, mereka rajin tapi awak soalan senang macam tu pun tak dapat jawab…”. kata-kata guru itu sehingga ke saat ini masih terngiang-ngiang di telinga hatta perkara itu sudah terlalu lama berlalu.

sejak kecil aku berasa pelik dengan sistem persekolahan di Malaysia. tiada istilah meneroka atau mengkaji. menelaahlah secara membabi buta buku-buku teks yang telah disediakan. ikutlah jadual waktu yang telah ditetapkan. jangan banyak berdebat. terima semua bulat-bulat. fakta sahaja. sila hafal sebab masuk peperiksaan. sekiranya gagal dalam peperiksaan, anda adalah manusia bodoh.

siapa mereka untuk menilai kebodohan seseorang? apa hak mereka? adakah mereka terlalu genius untuk membuktikan mereka sudah terlalu bijaksana untuk diperdebatkan mahupun dipersoalkan?

ahhh…sungguh tanpa ragu aku benci, aku jadi mual dan aku jadi malas. aku benci kebanyakan guru yang pernah menghiasi sejarah hidupku. guru-guru yang memperlekehkan aku tanpa pernah memberi aku peluang dan ruang untuk menjelaskan segalanya. guru-guru yang gemar menghukum tanpa pernah berasa sesal. tidakkah pernah terlintas di sudut hati mereka bahawa perbuatan dan perkataan mereka akan menjejaskan perkembangan mental dan fizikal seseorang individu?

ingin aku tegaskan di sini, kebijaksaan bukan dinilai dari sudut berapa banyak bilangan A. kebijaksaan adalah suatu seni dan ia bersifat abstrak. ilmu Allah itu terlalu luas dan pendidikan berorientasikan peperiksaan semata-mata tidak bernilai apa-apa kerana kertas peperiksaan tidak mampu merangkumi segalanya.

maafkan aku kerana beremosi.namun ini pengalamanku.aku yang merasainya dan aku yang terseksa kerananya. apa perasaan kau sekiranya kau berada di tempat aku? siapa kau untuk menunding hak aku untuk bersuara bagi menyatakan kesesalan, kekecewaan dan kesedihan diriku?

aku pernah diumpat oleh mereka yang kugelar sebagai cikgu. rendahnya akhlak mereka. sewenang-wenang sahaja mengaibkan diriku. banyak betul ‘saham’ seorang guru. tatkala aku mendengar sendiri umpatan mereka, hati terasa cukup sakit. sia-sia sahaja aku belajar untuk menghormati mereka sedangkan umpatan cacian yang kuterima daripada mereka. akukah yang bersalah? bukankan seorang guru bertanggungjawab memperelokkan akhlak pelajarnya? salah lagikah aku?

besar sangat ke dosa aku? ini hanya secebis cerita tentang sejarah hidupku mengenai guru. bukan niatku untuk mengaib mahupun merendahkan martabat dan bidang perguruan.TIDAK! itu bukan niatku. tidak pernah terlintas sedikit pun di sudut sanubariku. Cuma aku berharap tiada lagi manusia generasi pelapisku merasakan keadaan dan beban yang sama seperti diriku gara-gara mendapat guru ‘mee segera’.

alam persekolahanku bukan mimpi indah. sulit untuk kugambarkan. aku benci alam persekolahan. mujur semua itu sudah berlalu…

akhirnya aku berjaya juga sampai ke menara gading. kata orang tanpa guru, seorang pelajar tidak mungkin mampu berjaya. betul. semua tu aku takkan kunafikannya sampai bila-bila.

aku rindu guru-guruku yang tak lelah membantuku. mereka memberi semangat saat aku hampir tersungkur. guru-guru inilah yang banyak membantu. saat lelah menghambat diri, ketika kepercayaan mula pudar, hadirlah guru penyantun yang penuh sifat keibuan atau kebapaan ini. mereka menegur tanpa meminta balasan, memberi sebelum sempat meminta dan itulah guru-guru sanjunganku. semakin aku menjauh, semakin mereka mendekatkan diri. bertanya beban yang kutanggung. sungguh sampai saat ini kiranya aku ingin menatap wajah guru-guru itu. semoga Allah membalas segala kebaikan dan ketulusan mereka terhadapku. sungguh kebencianku terhadap guru-guru lainnya menyebabkan aku menjadi cukup selektif memilih seorang guru untuk didekati. aku hanya memandang dari kejauhan kerana aku bimbang untuk mendekati guru kerana pengalaman lalu mengajarku untuk lebih berhati-hati.

ini ceritaku. cerita tentang dunia persekolahanku yang telah berlalu dan tak mungkin berulang lagi. harapanku cukup besar kerana catatanku ini bukan sebuah catatan gila. keinginan yang meluap memaksa aku mencoretkannya. aku tidak mahu kebolehan manusia jadi sia-sia hanya disebabkan sistem. semoga dasar pendidikan yang bakal dibuat atau digubal mahupun diubah akan memandang aspek kemanusiaan terlebih dahulu.

“TUHAN TIDAK MENCIPTAKAN MANUSIA BODOH. TUHAN HANYA MENCIPTAKAN MANUSIA DENGAN KEBIJAKSANAAN YANG BERBEZA”

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan