Jumaat, 16 Mei 2014

TERKUBURNYA SAINS SOSIAL DI UMS

sains sosial telah terkubur di UMS. itu satu kepastian dan merupakan kerugian terbesar kepada para mahasiswa sains sosial yang berada di UMS. betapa kecewa, sedih dan kesalnya aku dengan keadaan ini. bagaimana harus aku dan rakan seperjuangan melaungkan keinginan dan hasrat kami? kami hanya mahu suara kami didengari oleh pihak pentadbiran dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya sepertimana yang sepatutnya. namun itu semua hanya mimpi yang tak pernah mungkin menjadi realiti kerana sejujurnya sistem demokrasi yang dilaung-laungkan sebenarnya hanyalah sebuah topeng yang ingin menutup segala cacat cela.

lupakah mereka tentang sejarah kebangkitan mahasiswa dulu? rata-rata mahasiswa yang pernah bangkit berlatar belakangkan sains sosial. kami tidak ingin mengambil pendekatan yang radikal seperti itu, bukan kerana kami gusar, tetapi kami mahukan pendekatan yang lebih rasional dan mesra

tapi disebabkan kerakusan insan bergelar manusia, sains sosial terus teraniaya dan dianaktirikan. apa salah sains sosial? sains sosial tidak pernah sama dengan kemanusiaan. bolehkan aku gelarkan manusia-manusia tersebut manusia yang dangkal ilmu dan bodoh sombong? tidak pernah mahu belajar dan mengambil pendekatan yang lebih baik, apa salah diadakan diskusi ilmu? mana nilai sebagai seorang mahasiswa yang boleh melontarkan idea dan pendapat? mana pula nilai universiti sebagai tempat melahirkan intelektual dan bakal kepimpinan negara pada masa hadapan?

apa sebenarnya sains social?

Science social: the scientific study of social, cultural, psychological, economic and political forces that guide individuals in their actions.

Scientific knowledge is knowledge that has been systematically gathered, classified, related and interpreted. It is concerned with learning the concepts and applying those concepts to particulars, rather than just learning a vast amount of information.

atau dalam bahasa melayu,

sains sosial merupakan kajian berkenaan dengan tingkahlaku manusia dan semua aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia dalam kelompok, iaitu terdiri daripada sub-bidang iaitu sosiologi, antropologi, psikologi, sains politik, ekonomi, sejarah, geografi, komunikasi, agama dan undang-undang.

Berbeza dengan kumpulan kemanusiaan kerana ia adalah pengetahuan yang merujuk kepada perasaan dan emosi manusia yang tidak dapat dikumpul dengan cara-cara yang sistematik dan saintifik seperti seni lukis, muzik, kesusasteraan dan falsafah atau dengan kata lainnya berkenaan dengan nilai estetik dan nilai kejiwaan manusia dalam sesuatu kebudayaan.



inilah kepiluan yang paling terkesan. sains sosial masih tidak dapat mendapat tempat sewajarnya di Malaysia, tidak seperti negara-negara maju di sebelah barat terutamanya. kebanyakan yang mengambil sains sosial adalah daripada golongan elit kerana mereka sedar betapa pentingnya pembangunan insan berbanding pembangunan ekonomi yang tidak seiring dengan manusiawi kerana akibatnya adalah kehancuran kerana kewarasan insan tenggelam dek ketandusan nilai sepertimana yang sepatutnya.

aku masih merangkak-rangkak mencari ilmu, mahu mendalami bidang sains sosial dengan sebaik mungkin, ingin menjadi seorang penyelidik dalam disiplin ilmu yang terlalu luas ini, yang terlalu aku sayangi dengan nawaitu hanya satu iaitu dapat membantu manusia lainnya melalui pandangan dan penelitianku, lalu aku mahu mengubah dan memperbaiki sistem dan dasar yang ada agar Malaysiaku berada di mercu. aku ingin melihat Malaysia sebaris dengan negara-negara lain dalam semua aspek. salahkah aku menyimpan impian?

aku bimbang dengan perubahan penjenamaan sekolah sains sosial ini, takut cita-citaku terhalang kerana aku dikatakan tidak setanding dengan keluaran universiti lokal dan antarabangsa kerana ijazah yang bakal kuperolehi terhasil dalam fakulti kemanusiaan. ohh tuhan, betapa kejamnya manusia itu. bahana yang bakal terasa adalah kami para mahasiswa, yang baru ingin tumbuh mengenal dunia, yang akan cuba menempatkan diri ke alam pekerjaan yang nampak semakin kelam dan hilang, dek kerana ketamakan manusia tersebut dalam mengejar kemewahan duniawi tanpa pernah memikirkan nasib kami. nasib kami yang terjejas. menyuruh kami berfikiran terbuka, namun pantaskah dia untuk menasihati kami? dia tidak professional dan berwibawa. Nampak sangat tidak bisa menerima teguran dan egonya sebesar gajah. ahhh…kuasa dan pangkat mampu membutakan mata manusia dan itu hakikatnya.

Cuma ini kemahuan mahasiswa sains sosial UMS. ini sahaja.

fakulti kemanusiaan, seni & warisan >>> fakulti sains sosial dan kemanusiaan

walau bagaimanapun, terima kasih kepada semua yang terlibat kerana menenggelamkan sains sosial di UMS dan jutaan rasa ‘sayang’ aku tujukan kepada mereka kerana ‘kebaikan dan kemurahan’ hati mereka dalam ‘memperjuangkan’ sains sosial. semoga mereka bahagia dan tenang dalam kehidupan mereka…

 

SELAMAT HARI GURU


setiap kali hari guru, seribu satu aku rasa. boleh tak aku cakap aku tak suka guru? boleh tak aku kata aku menyampah dengan mereka yang bergelar guru?

kebanyakan mereka hipokrit bagi aku. kebanyakan mereka manusia plastik. mereka bukan manusia tulen yang sepatutnya memegang status mulia seorang guru. sesungguhnya mereka tak layak, tak layak dan tak layak!!!

walaupun aku membenci kebanyakan guru, aku takkan menafikan dalam hidup aku pernah wujud guru-guru yang berhati tulus. setulus embun sehingga aku bimbang sekiranya aku akan menyakiti mereka kerana kebencianku terhadap guru.

aku memang manusia agresif. aku akui itu semua. pendapatku berbeza daripada rakan lainnya. aku sulit untuk diatur apatah lagi ditegur. aku dilahirkan dengan paradigma berbeza. perbezaan ini menyebabkan ramai guru tidak menyukai kewujudan aku. sesungguhnya aku berbeza? apakah itu dosa? ataupun guru-guru berasa tercabar dengan ideologiku yang songsang daripada arus perdana?

aku pernah menangis di dalam kelas kerana dihina seorang guru. malunya aku bukan kepalang. semua rakan lain memandang enteng kepadaku. perlukan maruah aku diperlekehkan sedemikian rupa, gara-gara aku dikatakan tidak setanding dengan mereka yang sekelas dengan aku? “mereka pandai, mereka rajin tapi awak soalan senang macam tu pun tak dapat jawab…”. kata-kata guru itu sehingga ke saat ini masih terngiang-ngiang di telinga hatta perkara itu sudah terlalu lama berlalu.

sejak kecil aku berasa pelik dengan sistem persekolahan di Malaysia. tiada istilah meneroka atau mengkaji. menelaahlah secara membabi buta buku-buku teks yang telah disediakan. ikutlah jadual waktu yang telah ditetapkan. jangan banyak berdebat. terima semua bulat-bulat. fakta sahaja. sila hafal sebab masuk peperiksaan. sekiranya gagal dalam peperiksaan, anda adalah manusia bodoh.

siapa mereka untuk menilai kebodohan seseorang? apa hak mereka? adakah mereka terlalu genius untuk membuktikan mereka sudah terlalu bijaksana untuk diperdebatkan mahupun dipersoalkan?

ahhh…sungguh tanpa ragu aku benci, aku jadi mual dan aku jadi malas. aku benci kebanyakan guru yang pernah menghiasi sejarah hidupku. guru-guru yang memperlekehkan aku tanpa pernah memberi aku peluang dan ruang untuk menjelaskan segalanya. guru-guru yang gemar menghukum tanpa pernah berasa sesal. tidakkah pernah terlintas di sudut hati mereka bahawa perbuatan dan perkataan mereka akan menjejaskan perkembangan mental dan fizikal seseorang individu?

ingin aku tegaskan di sini, kebijaksaan bukan dinilai dari sudut berapa banyak bilangan A. kebijaksaan adalah suatu seni dan ia bersifat abstrak. ilmu Allah itu terlalu luas dan pendidikan berorientasikan peperiksaan semata-mata tidak bernilai apa-apa kerana kertas peperiksaan tidak mampu merangkumi segalanya.

maafkan aku kerana beremosi.namun ini pengalamanku.aku yang merasainya dan aku yang terseksa kerananya. apa perasaan kau sekiranya kau berada di tempat aku? siapa kau untuk menunding hak aku untuk bersuara bagi menyatakan kesesalan, kekecewaan dan kesedihan diriku?

aku pernah diumpat oleh mereka yang kugelar sebagai cikgu. rendahnya akhlak mereka. sewenang-wenang sahaja mengaibkan diriku. banyak betul ‘saham’ seorang guru. tatkala aku mendengar sendiri umpatan mereka, hati terasa cukup sakit. sia-sia sahaja aku belajar untuk menghormati mereka sedangkan umpatan cacian yang kuterima daripada mereka. akukah yang bersalah? bukankan seorang guru bertanggungjawab memperelokkan akhlak pelajarnya? salah lagikah aku?

besar sangat ke dosa aku? ini hanya secebis cerita tentang sejarah hidupku mengenai guru. bukan niatku untuk mengaib mahupun merendahkan martabat dan bidang perguruan.TIDAK! itu bukan niatku. tidak pernah terlintas sedikit pun di sudut sanubariku. Cuma aku berharap tiada lagi manusia generasi pelapisku merasakan keadaan dan beban yang sama seperti diriku gara-gara mendapat guru ‘mee segera’.

alam persekolahanku bukan mimpi indah. sulit untuk kugambarkan. aku benci alam persekolahan. mujur semua itu sudah berlalu…

akhirnya aku berjaya juga sampai ke menara gading. kata orang tanpa guru, seorang pelajar tidak mungkin mampu berjaya. betul. semua tu aku takkan kunafikannya sampai bila-bila.

aku rindu guru-guruku yang tak lelah membantuku. mereka memberi semangat saat aku hampir tersungkur. guru-guru inilah yang banyak membantu. saat lelah menghambat diri, ketika kepercayaan mula pudar, hadirlah guru penyantun yang penuh sifat keibuan atau kebapaan ini. mereka menegur tanpa meminta balasan, memberi sebelum sempat meminta dan itulah guru-guru sanjunganku. semakin aku menjauh, semakin mereka mendekatkan diri. bertanya beban yang kutanggung. sungguh sampai saat ini kiranya aku ingin menatap wajah guru-guru itu. semoga Allah membalas segala kebaikan dan ketulusan mereka terhadapku. sungguh kebencianku terhadap guru-guru lainnya menyebabkan aku menjadi cukup selektif memilih seorang guru untuk didekati. aku hanya memandang dari kejauhan kerana aku bimbang untuk mendekati guru kerana pengalaman lalu mengajarku untuk lebih berhati-hati.

ini ceritaku. cerita tentang dunia persekolahanku yang telah berlalu dan tak mungkin berulang lagi. harapanku cukup besar kerana catatanku ini bukan sebuah catatan gila. keinginan yang meluap memaksa aku mencoretkannya. aku tidak mahu kebolehan manusia jadi sia-sia hanya disebabkan sistem. semoga dasar pendidikan yang bakal dibuat atau digubal mahupun diubah akan memandang aspek kemanusiaan terlebih dahulu.

“TUHAN TIDAK MENCIPTAKAN MANUSIA BODOH. TUHAN HANYA MENCIPTAKAN MANUSIA DENGAN KEBIJAKSANAAN YANG BERBEZA”